Yang manakah lebih mesra alam: Cetak atau digital?



Sudah tentu pernah kita membaca pesanan sebegini di hujung e-mel: Jagalah bumi kita dan jangan cetak e-mel ini kecuali untuk urusan penting. Namun, adakah pendekatan tanpa kertas lebih mesra alam sedangkan alat elektronik kita juga mempunyai jejak karbon yang tinggi?

Jawapannya sebenarnya bergantung kepada tabiat membaca kita. Menurut Pusat Komunikasi Kelestarian KTH yang berpusat di Sweden, sekiranya anda bermastautin di negara Eropah (di mana penjanaan elektrik mereka lebih mesra alam berbanding dengan Malaysia) dan hanya membaca berita selama 10 minit, maka surat khabar digital ataupun portal berita dalam talian adalah pilihan yang lebih mesra alam berbanding dengan surat khabar cetak. Ironinya, kebanyakan pembaca berita meluangkan masa lebih daripada 10 minit untuk membaca berita, sama ada secara dalam talian atau dalam bentuk nyata.

Seperkara lagi, sebuah alat membaca e-buku (e-reader) seperti Kindle turut membawa implikasi yang sama atau lebih teruk berbanding dengan buku konvensional. Menurut kajian, karbon dioksida yang -dibebaskan dalam proses menghasilkan sebuah e-reader adalah setara dengan 100 buku nyata. Hal ini bermaksud kita perlu membaca lebih daripada 100 naskah buku dalam peranti elektronik tersebut sebelum menggantikannya barulah kita dapat mengurangkan jejak karbon kita

Dari kanta yang berbeza, alat elektronik yang kita guna untuk membaca buku (seperti telefon pintar, komputer riba dan komputer tablet) kadang-kala tidak dilupuskan dengan cara yang betul. Menurut laporan Persatuan Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA), bilangan sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) saban dunia telah mencapai 53.6 ribu tan metrik (Mt) pada tahun 2019, dan angka tersebut dijangka akan terus meningkat sehinggalah mencecah 74.7 Mt pada tahun 2030. Trend e-buku hanya akan menerukkan situasi tersebut.

Secara tuntasnya, tiada suatu jawapan yang betul untuk persoalan tersebut. Cara yang terbaik adalah dengan mengamalkan amalan 3R semasa kita membaca: mengurangkan pembelian buku baharu (Reduce), membeli buku terpakai (Reuse) dan mengitar semula buku, surat khabar atau alat elektronik yang telah rosak dengan cara yang betul (Recycle). 


Rujukan:

Comments